Ukuran jarak perjalanan ke tempat keluar

165.(1) Jarak perjalanan ke sesuatu tempat keluar hendaklah diukur di atas lantai atau permukaan jalanan lain sepanjang garis tengah laluan perjalanan biasa itu, mulai 0.300 meter daripada titik pendudukan yang terpencil sekali, melengkok keliling apa-apa sudut atau halangan dengan kelegaan 0.300 meter daripadanya dan berakhir pada pintu keluar tingkat itu. Jika ukuran meliputi tangga, ia hendaklah diambil pada satah aujur pemijaknya.

(2) Dalam mana-mana kawasan terbuka, jarak ke tempat keluar hendaklah diukur daripada titik pendudukan yang terpencil sekali dengan syarat bahawa jarak terus itu tidak boleh melebihi dua pertiga jarak perjalanan yang dibenarkan.

(3) Dalam mana-mana bilik persendirian yang tertakluk kepada pendudukan tidak lebih daripada enam orang, jarak perjalanan hendaklah diukur dari pintu suatu bilik persendirian: Dengan syarat bahawa jarak perjalanan dari titik yang terpencil sekali dalam bilik itu ke pintu bilik tersebut tidak melebihi 9 meter atau mana-mana keluasan yang lain yang ditentukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

(4) Jarak perjalanan maksimum ke tempat keluar dan had-had jalan mati hendaklah sebagaimana dinyatakan dalam Jadual Ketujuh Undang-Undang Kecil ini.

Tempat keluar hendaklah boleh dilalui pada bila-bila masa

166.(1) Kecuali sebagaimana dibenarkan oleh undang-undang kecil 67, tidak kurang daripada dua tempat keluar berasingan hendaklah disediakan daripada setiap tingkat bersama dengan sesuatu tempat keluar tambahan sebagaimana perlu.

(2) Tempat keluar itu hendaklah ditempatkan dan akses ke tempat keluar itu hendaklah diatur sedemikian supaya tempat keluar itu adalah dalam had-had jarak perjalanan sebagaimana diterapkan dalam Jadual Ketujuh Undang-Undang Kecil ini dan boleh dilalui pada bila-bila masa.

Tangga

168.(1) Kecuali sebagaimana diperuntukkan dalam undang-undang kecil 194, setiap tingkat atas hendaklah mempunyai jalan keluar melalui sekurang-kurangnya dua tangga berasingan.

(2) Tangga-tangga hendaklah daripada sekian lebar supaya jika mana-mana satu tangga tidak boleh digunakan bagi maksud-maksud melepaskan diri, tangga yang tinggal itu boleh memampung beban pendudukan tertinggi sekali bagi mana-mana satu tingkat yang keluar ke tangga itu yang dikira mengikut peruntukan-peruntukan Jadual Ketujuh Undang-Undang Kecil ini.

(3) Lebar yang diperlukan bagi sesuatu tangga adalah lebar bersih di antara dinding-dinding tetapi susur tangan boleh dibenarkan memasuki ke atas lebar ini sehingga maksimum 80 milimeter.

(4) Lebar yang diperlukan bagi sesuatu tangga hendaklah dikekalkan keseluruhan panjangnya termasuk di bahagian pelantar.

(5) Pintu yang memberi akses kepada tangga hendaklah ditempatkan sedemikian supaya hayunannya tidak pada mana-mana titik memasuki ke atas lebar yang diperlukan bagi tangga atau pelantar itu.

Jalan keluar

169. Tiada sesuatu jalan keluar boleh dikurangkan lebarnya sepanjang laluan perjalanannya daripada pintu keluar tingkat ke pintu keluar terakhir.

Jalan keluar melalui ruang buka tak berkepung

170. Jika ruang buka tak berkepung dibenarkan di antara tingkat-tingkat dan bagi tingkat mezanin, jalan keluar boleh diadakan melalui suatu tangga terbuka ke tingkat berhampiran dan kemudian ke pintu keluar tingkat:

(a) susunaturnya adalah sedemikian supaya sesuatu kebakaran yang bermula di mana-mana tempat dalam petak itu akan ketara kepada penduduk di semua paras atau kawasan yang berhubungan;

(b) jarak perjalanan yang dinyatakan dalam Jadual Ketujuh Undang-Undang Kecil ini tidak dilebihi;

(c) hanya 50 peratus daripada penduduk sesuatu tingkat dianggap menggunakan tangga terbuka itu dan pintu keluar tingkat disediakan pada setiap paras untuk menampung baki 50 peratus daripada penduduk di paras itu mengikut peruntukan-peruntukan Jadual Ketujuh Undang-Undang Kecil ini; dan

(d) pintu keluar di tingkat utama yang melaluinya paras-paras lain keluar adalah direka bentuk untuk menampung penduduk tingkat itu ditambah dengan 50 peratus daripada penduduk daripada paras berhampiran yang keluar melaluinya.

Tempat keluar mendatar

171.(1) Jika patut, tempat keluar mendatar boleh disediakan sebagai ganti tempat keluar lain.

(2) Jika tempat keluar mendatar disediakan, tangga keluar dan tempat keluar terakhir hanya perlu mempunyai kelebaran untuk menampung beban pendudukan petak atau bangunan yang lebih besar yang keluar melaluinya, asalkan jumlah bilangan lebar tempat keluar yang disediakan itu tidak dikurangkan lebih daripada separuh daripada yang sebaliknya dikehendaki bagi seluruh bangunan itu.

(3) Bagi pendudukan institusional, jumlah kapasiti tempat keluar itu lain daripada tempat keluar mendatar tidak boleh dikurangkan lebih daripada satu pertiga daripada yang sebaliknya dikehendaki bagi seluruh kawasan bangunan itu.

Tanda tempat keluar kecemasan

172.(1) Pintu keluar tingkat dan akses kepada pintu keluar tersebut hendaklah ditanda dengan tanda-tanda yang dapat dilihat dengan mudah dan hendaklah tidak dihalang oleh apa-apa penghadang, perabot atau kelengkapan lain.

(2) Suatu tanda pembacaan “KELUAR” dengan anak panah yang menunjukkan arah, hendaklah diletakkan di tiap-tiap tempat di mana arah perjalanan menuju ke pintu keluar yang terdekat tidak kelihatan dengan serta-merta.

(3) Reka bentuk dan pemasangan bagi tiap-tiap tanda tempat keluar kecemasan hendaklah mematuhi PM 2687 dan PM 619.

(4) Semua tanda tempat keluar hendaklah diterangi berterusan sepanjang tempoh pendudukan.

Pintu Keluar

173.(1) Semua pintu keluar hendaklah boleh dibuka daripada sebelah dalam tanpa menggunakan kunci atau apa-apa pengetahuan khas atau tenaga.

(2) Pintu keluar hendaklah menutup secara automatik apabila dilepaskan dan semua alat pintu termasuk pemegang pintu magnet hendaklah melepaskan pintu itu apabila berlaku kerosakan kuasa atau penghidupan penggera kebakaran.

Susunan pintu keluar tingkat

174.(1) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang kecil 194, tiap-tiap petak hendaklah disediakan dengan sekurang-kurangnya dua pintu keluar tingkat ditempatkan sejauh yang praktik antara satu sama lain dan hendaklah tidak kurang daripada 5 meter jauhnya diukur antara sisi ruang buka yang terdekat sekali dan dalam suatu kedudukan tersebut yang jarak perjalanan hendaklah tidak melebihi jarak perjalanan yang dinyatakan dalam Jadual Ketujuh Undang-Undang Kecil ini.

(2) Lebar bagi pintu keluar tingkat hendaklah mengikut peruntukan dalam Jadual Ketujuh Undang-Undang Kecil ini.

(3) Struktur tingkat bawah tanah dan bumbung yang digunakan semata-mata bagi perkidmatan tidak perlu disediakan dengan jalan melepaskan diri lain.

(4) Jika suatu teras pusat mempunyai lebih daripada satu pintu keluar, pintu keluar tingkat hendaklah jauh daripada satu sama lain dan tiada dua pintu keluar yang hendaklah dilalui dari dewan yang sama, ruang umum atau koridor yang tidak berbahagi

Tempat keluar terakhir

174A (1) Setiap tempat keluar hendaklah memberi akses kepada—

(a) suatu tempat keluar terakhir;

(b) suatu koridor terlindung yang menuju ke suatu tempat keluar terakhir, yang koridor terlindung hendaklah tidak melebihi suatu jarak perjalanan dan jalan mati bagi koridor tersebut mengikut Jadual Ketujuh;

(c) suatu tangga keluar menuju ke suatu tempat keluar terakhir;

(d) suatu jalan luar yang menuju ke suatu tempat keluar terakhir yang boleh mengandungi suatu koridor luar sisi terbuka tanpa aktiviti komersial dan hendaklah tidak melebihi 5 meter daripada garisan cucur atap bangunan; atau

(e) suatu koridor yang terbuka ke langit yang mempunyai lebar minimum 1.2 meter dan laluan melepaskan diri dua hala menuju ke suatu tempat selamat di luar bangunan dan apa-apa ruang buka yang tidak terlindung di sepanjang koridor hendaklah tidak ditempatkan di bawah daripada 1.8 meter daripada paras lantai.

(2) Dalam bangunan terlindung dengan suatu semburan, maksimum 50 peratus daripada jumlah nombor tangga keluar boleh dilepaskan terus ke paras tanah bertutup ruang edaran jika semua perkara yang berikut dipatuhi:

(a) jalan keluar bagi tangga keluar ke paras tanah ruang edaran hendaklah dalam pandangan dari dan dengan akses terus ke suatu tempat yang selamat di luar bangunan;

(b) jarak maksimum antara jalan keluar bagi tangga keluar ke suatu tempat selamat di luar bangunan hendaklah tidak melebihi 10 meter;

(c) sekiranya terdapat aktiviti komersial seperti kedai, warung atau troli yang terletak sepanjang satu sisi atau dua sisi laluan melepaskan diri yang ditetapkan menuju ke tempat selamat di luar bangunan, jarak pemisahan minimum 10 meter hendaklah dikekalkan antara aktiviti komersial dan laluan melepaskan diri yang ditetapkan tersebut, ruang edaran hendaklah juga dipasang dengan suatu sistem kawalan asap tereka bentuk dan sebagai alternatif, aktiviti komersial hendaklah dipetakkan kebakaran dengan dinding dan pintu minimum 1 jam tempoh ketahanan api; dan

(d) lebar kelegaan suatu pintu keluar menuju ke tempat selamat di luar bangunan hendaklah mencukupi untuk menerima beban pendudukan bagi lantai jalan keluar dan jumlah orang yang keluar daripada tangga keluar dalaman.

(3) Maka hendaklah tidak ada ruang buka yang tidak terlindung bagi suatu kawasan pendudukan atau bahan mudah terbakar atau pembinaan dalam 3 meter dari suatu jalan keluar bagi tangga keluar (dalam dan luar) dan jarak itu boleh dikurangkan kepada 1.5 meter jika ruang buka yang tidak terlindung adalah sepanjang satah yang sama bagi tangga keluar.

Penghitungan beban pendudukan

175. Penghitungan beban pendudukan dan kapasiti tempat keluar hendaklah mengikut peruntukan-peruntukan Jadual Ketujuh Undang-Undang Kecil ini.

Pengiraan lebar pintu keluar tingkat

176. Untuk mengira lebar tempat keluar yang dikhendaki daripada tingkat-tingkat persendirian sesuatu bangunan—

(a) hitung keluasan bersih atau kasar lantai itu mengikut mana yang berkenaan;

(b) tentukan faktor beban pendudukan yang dibenarkan daripada Jadual;

(c) bahagikan keluasan lantai itu dengan bilangan meter persegi bagi seorang untuk menentukan bilangan orang yang mesti disediakan tempat keluar bagi tingkat itu;

(d) tentukan daripada Jadual kapasiti bagi jenis tempat keluar yang hendak digunakan bagi kumpulan maksud yang direka bentuk itu; dan

(e) hitung bilangan unit lebar tempat keluar bagi setiap jenis tempat keluar yang digunakan berasaskan kepada kapasiti itu.

Pengiraan bilangan tangga dan lebar tangga

177. Faktor-faktor berikut hendaklah digunakan dalam mengira lebar tempat keluar:

(a) dalam sesuatu bangunan berbilang tingkat jika “x” unit lebar tempat keluar diperlukan daripada setiap tingkat, tangga yang digunakan oleh tingkat itu tidak perlu “x” kali ganda bilangan tingkat yang menggunakannya dalam unit lebar pintu keluar. Tangga itu hanya perlu cukup lebar untuk digunakan oleh setiap tingkat tetapi tidak kurang daripada lebar minimum yang dibenarkan dan dalam tiap-tiap hal satu daripada tangga keluar itu hendaklah dianggap tidak boleh dilalui dan tangga keluar yang tinggal itu hendaklah dari lebar dan bilangan yang mencukupi untuk menampung pendudukan berkenaan itu;

(b) bergantung kepada pendudukan, tempat keluar tingkat jalan hendaklah dibuat selebar yang cukup untuk mengendalikan bukan sahaja beban pendudukan tingkat jalan itu tetapi juga sesuatu peratusan daripada beban tempat keluar yang keluar melaluinya ke tingkat jalan daripada tingkat-tingkat yang di atas dan di bawahnya;

(c) tempat keluar tidak boleh kurang lebarnya di sepanjang jarak perjalanannya dan jika dua atau lebih tempat keluar bertemu menjadi satu tempat keluar bersama, tempat keluar bersama itu tidak boleh lebih sempit daripada jumlah kelebaran tempat keluar yang bertemu itu;

(d) kecuali sebagaimana diperuntukkan dalam Undang-Undang Kecil ini, bilangan minimum tempat keluar ialah dua;

(e) sekurang-kurangnya satu daripada tangga-tangga itu hendaklah mempunyai dua unit lebar pada minimumnya kecuali bahawa 900 milimeter boleh dibenarkan jika jumlah pendudukan semua tingkat yang menggunakan tangga itu adalah kurang daripada 50 orang; dan

(f) hendaklah tidak ada pengurangan pada lebar di sepanjang laluan perjalanan tangga itu yang menuju ke tempat keluar terakhir.

Tempat keluar bagi institusional dan tempat perhimpunan.

178. Dalam bangunan-bangunan yang dikelaskan sebagai institusional atau tempat perhimpunan, tempat keluar ke jalan atau ruang terbuka yang besar, bersama dengan tangga, koridor dan lorong yang menuju ke tempat keluar itu hendaklah ditempatkan, berasingan atau terlindung untuk mengelakkan apa-apa bahaya yang tidak sewajarnya kepada penduduk tempat perhimpunan itu daripada api yang berpunca dalam pendudukan yang lain atau asap daripadanya.

Pengelasan tempat perhimpunan

179. Setiap tempat perhimpunan hendaklah dikelaskan mengikut kapasitinya seperti berikut:

Kelas A — Kapasiti 1,000 orang atau lebih

Kelas B — Kapasiti 300 hingga 1,000 orang

Kelas C — Kapasiti 100 hingga 300 orang

Standard jarak untuk mengira beban pendudukan

180. Beban pendudukan yang dibenarkan di mana-mana tempat perhimpunan hendaklah ditentukan dengan membahagikan keluasan bersih lantai atau ruang yang diuntukkan bagi kegunaan itu dengan meter persegi bagi seorang penduduk seperti berikut:

(a) kawasan perhimpunan penggunaan tumpuan tanpa tempat duduk tetap seperti auditorium, tempat sembahyang, lantai tari-menari dan bilik inap — 0.65 meter persegi bagi seorang;

(b) kawasan perhimpunan yang kurang penggunaan tumpuan seperti bilik persidangan, bilik makan, kedai minuman, bilik pameran, gimnasium atau bilik istirehat — 1.35 meter persegi bagi seorang;

(c) bilik sendiri atau ruang menanti — 3 meter persegi bagi seorang;

(d) beban pendudukan sesuatu kawasan yang mempunyai tempat duduk tetap hendaklah ditentukan dengan bilangan tempat duduk tetap yang dipasang. Ruang lorong yang diperlukan bagi kegunaan tempat duduk tetap itu tidak boleh digunakan untuk menambah beban pendudukan itu.

Lebar jalan keluar

181. Setiap tempat keluar hendaklah mempunyai unit lebar tempat keluar yang berukuran 550 milimeter. Pecahan sesuatu unit tidak akan dikira, kecuali lebarnya 300 milimeter yang ditambah kepada satu atau lebih unit tempat keluar hendaklah dikira sebagai satu unit lebar tempat keluar dan tiada akses persendirian bagi tempat keluar boleh kurang daripada 700 milimeter.

Kadar aliran keluar

182. Kadar perjalanan orang bagi satu tingkat adalah 60 orang bagi satu minit melalui pintu atau sepanjang laluan datar dan 45 orang bagi satu minit melalui tangga.

Butir-butir tempat keluar bagi tempat perhimpunan

183. Setiap tempat perhimpunan, setiap lingkaran atau langkan, dan setiap tempat persendirian yang digunakan sebagai tempat perhimpunan hendaklah mempunyai tempat keluar yang mencukupi untuk menampung jumlah kapasitinya sebagaimana ditentukan mengikut undang-undang kecil 180 dan seperti berikut:

(a) Tiada sesuatu unit lebar tempat keluar boleh digunakan oleh lebih daripada seratus orang;

(b) Pintu yang menuju ke luar bangunan pada paras tanah atau tidak lebih daripada 3 tingkat di atas atau di bawah tanah seratus orang bagi satu unit tempat keluar;

(c) Tangga atau tempat keluar jenis lain yang tidak dinyatakan dalam undang-undang kecil 177 di atas tujuh puluh lima orang bagi satu unit tempat keluar;

(d) tiap-tiap tempat perhimpunan Kelas A (yang kapasitinya seribu orang atau lebih) hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya empat tempat keluar berasingan yang ditempatkan sejauh yang praktik antara satu dengan lain;

(e) tiap-tiap tempat perhimpunan Kelas B (yang kapasitinya tiga ratus hingga seribu orang) hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya dua tempat keluar berasingan yang ditempatkan sejauh yang praktik antara satu sama lain, dan jika kapasitinya lebih daripada tujuh ratus orang, sekurang-kurangnya tiga tempat keluar sedemikian.

(f) tiap-tiap tempat perhimpunan Kelas C (yang kapasitinya seratus hingga tiga ratus orang) hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya dua jalan keluar, yang terdiri daripada tempat keluar atau pintu berasingan menuju ke koridor atau ruang lain yang memberi akses kepada tempat keluar berasingan mengikut arah-arah berlainan.

Tempat duduk

184. (1) (a) Jarak deretan tempat duduk dari belakang ke belakang hendaklah tidak kurang daripada 825 milimeter, atau kurang daripada 675 milimeter ditambah dengan jumlah kebelakang dan kecondongan belakang itu.

(b) Hendaklah ada suatu ruang tidak kurang daripada 300 milimeter di antara belakang sesuatu tempat duduk dengan tempat duduk yang sebaris sahaja di belakangnya sebagaimana diukur di antara garisan unting-unting.

(c) Deretan tempat duduk di antara lorong-lorong tidak boleh mempunyai lebih daripada empat belas tempat duduk.

(d) Deretan tempat duduk yang hanya membuka pada suatu lorong di satu hujung sahaja tidak boleh mempunyai lebih daripada tujuh tempat duduk.

(e) Tempat duduk tanpa pelepat pembahagi hendaklah ditetapkan kapasitinya dengan memperuntukkan 450 milimeter bagi seorang.

(2) (a) Dengan tempat duduk kontinental, jarak baris-baris tempat duduk yang tidak diduduki hendaklah memperuntukkan suatu lebar bersih di antara baris-baris yang diukur secara mendatar seperti berikut (tempat duduk automatik atau naik-sendiri hendaklah diukur dalam kedudukan tegak, tempat duduk lain hendaklah diukur dalam kedudukan duduk)—

450 milimeter lebar bersih di antara baris-baris yang mempunyai 18 tempat duduk atau kurang;

500 milimeter lebar bersih di antara baris-baris yang mempunyai 35 tempat duduk atau kurang;

525 milimeter lebar bersih di antara baris-baris yang mempunyai 45 tempat duduk atau kurang;

550 milimeter lebar bersih di antara baris-baris yang mempunyai 46 tempat duduk atau kurang.

(b) Dengan tempat duduk kontinental, bilangan tempat duduk yang berselang-seli di antara sesuatu tempat duduk dengan suatu lorong boleh ditambah hingga 49 jika pintu keluar disediakan sepanjang setiap lorong sisi barisan tempat duduk itu dengan kadar 1 pasang pintu keluar bagi setiap 5 baris tempat duduk. Pintu keluar tersebut hendaklah memperuntukkan lebar bersih minimum 1,680 milimeter.

Lorong di tempat-tempat perhimpunan

185. (1) Suatu lorong lega yang lebarnya tidak kurang daripada 1,200 milimeter hendaklah disediakan di keliling tempat duduk dan di sesuatu tempat perhimpunan menuju ke pintu keluar di dalamnya: Dengan syarat bahawa jika lorong dalaman itu menuju ke pintu keluar yang lebarnya tidak kurang daripada 1,200 milimeter, lorong bahagian belakang boleh ditinggalkan.

(2) Lorong yang lebarnya tidak kurang daripada 1,200 milimeter yang selari dengan barisan-barisan tempat duduk di sesuatu tempat perhimpunan hendaklah disediakan jika dikehendaki oleh pihak berkuasa tempatan.

(3) Semua lantai langkan atau tingkat-tingkat di sesuatu tempat perhimpunan hendaklah dibina keseluruhannya daripada konkrit tetulang.

(4) Anak tangga tidak boleh digunakan untuk mengatasi perbezaan pada paras sesuatu lorong di sesuatu tempat perhimpunan melainkan cerun lorong itu melebihi satu dalam sepuluh.

(5) Jika anak tangga yang kecondongannya melebihi 30° atau landasan yang cerunnya melebihi satu dalam sepuluh disediakan bagi lorong-lorong di sisi tempat duduk di sesuatu tempat perhimpunan, susur tangan yang sesuai hendaklah disediakan.

(6) Pemijak anak tangga bagi lorong di sesuatu tempat perhimpunan hendaklah mempunyai permukaan tidak gelincir dan tepi anak tangga itu hendaklah diterangi di paras pemijaknya.

(7) Dalam bulatan dan geleri atau kawasan di mana kecondongannya melebihi 15°, susur pengadang yang tidak kurang daripada 1,050 milimeter di atas paras lantai hendaklah disediakan pada bahagian bawah lorong di tempat perhimpunan.

Pintu keluar di tempat-tempat perhimpunan

186. (1) Semua pintu yang digunakan oleh awam sebagai pintu keluar daripada mana-mana bahagian tempat perhimpunan atau menuju ke kawasan terbuka, hendaklah hanya membuka ke arah keluar.

(2) Di sesuatu tempat perhimpunan semua pintu keluar dan pintu yang dilalui oleh orang awam dalam perjalanan ke kawasan terbuka hendaklah tidak berkunci, berselak atau mempunyai pepasangan lain semasa orang awam berada dalam bangunan itu:

Dengan syarat bahwa pintu yang hanya digunakan untuk tempat keluar boleh dipasang dengan selak kecemasan.

(3) Selak kecemasan yang dipasang pada pintu-pintu di sesuatu tempat perhimpunan hendaklah tidak kurang daripada 750 milimeter atau lebih daripada 1,100 milimeter di atas paras lantai.

(4) Lawang putar, jika dipasang pada suatu tempat perhimpunan, hendaklah ditempatkan jauh daripada garisan pintu keluar dan tidak boleh dimasukkan dalam hitungan lebar tempat keluar.

(5) Di sesuatu tempat perhimpunan setiap pintu luar yang digunakan oleh orang awam dan setiap pintu pagar boleh dilipat hendaklah boleh dikunci dalam keadaan terbuka sepenuhnya dengan sesuatu cara di mana suatu anak kunci diperlukan untuk melepaskan pintu tersebut daripada keadaan terbuka itu.

Notis yang dilekatkan pada pintu atau pintu pagar

187. Notis atau notis-notis yang difaktakan supaya boleh dilihat daripada kedua-dua belah pintu, pintu pagar atau pengatup sama ada pintu, pintu pagar atau pengatup itu berada dalam keadaan terbuka atau tertutup hendaklah dilekatkan pada, atau di sesuatu tempat berhampiran dengan setiap pintu dan pintu pagar tersebut di atas, notis itu hendaklah mengandungi perkataan-perkataan “Pintu pagar/Pintu ini adalah diperlukan dibuka dan dikunci dalam keadaan itu pada sepanjang masa penonton/perhimpunan berada dalam bangunan itu”. Tinggi huruf bagi notis tersebut tidak boleh kurang daripada 75 milimeter.

Jarak perjalanan di tempat perhimpunan

188. Tempat keluar di mana-mana tempat perhimpunan hendaklah diatur supaya jarak perjalanan daripada sesuatu tempat untuk sampai ke tempat keluar tidak melebihi 45 meter bagi bangunan tanpa semburan dan 60 meter bagi bangunan yang mempunyai semburan.

Pengepungan jalan melepaskan diri dalam bangunan tertentu

189. (1) Setiap tangga yang disediakan di bawah Undang-Undang Kecil ini dalam sesuatu bangunan empat tingkat atau lebih, atau dalam sesuatu bangunan di mana paras tingkat yang tertinggi sekali adalah lebih daripada 12 meter di atas paras tanah, atau di sesuatu tempat perhimpunan, atau di sesuatu sekolah di mana tangga tersebut akan digunakan sebagai cara melepaskan diri yang lain hendaklah dikepung pada keseluruhan panjangnya dengan bahan tahan api;

(2) Dalam suatu bangunan daripada Kumpulan Maksud IV (Pejabat), suatu reka bentuk koridor terbuka boleh mempunyai suatu tangga tak berkepong jika disediakan dengan suatu pelantar lanjutan yang hendaklah tidak kurang daripada dua kali lebar tangga dan suatu dinding yang mengasingkan tangga itu daripada pendudukan hendaklah dibalikkan semua pada suatu jarak yang tidak kurang daripada 1 meter memisahkan bahagian hadapan pendudukan berhampiran.

190. (1) Suatu tangga keluar boleh melayakkannya sebagai suatu tangga keluar luaran jika tiada bahagiannya dicerak lebih daripada 3 meter daripada muka bangunan itu dan mempunyai—

Tangga keluar luaran

(a) suatu minimum dua sisian bersempadan berhampiran dengan suatu tempat selamat di luar bangunan; atau

(b) satu daripada sisian yang terpanjang bersempadanan dengan suatu tempat yang selamat di luar bangunan.

(2) Suatu tangga keluar luaran boleh digunakan sebagai ganti suatu tempat keluar yang diperlukan bagi suatu tangga keluar dalaman jika—

(a) ia mematuhi keperluan-keperluan bagi suatu tangga keluar; dan

(b) tidak terdapat ruang buka yang tidak terlindung, dan bahan mudah terbakar atau pembinaan dalam 2 meter mendatar atau dalam 9 meter tegak di bawah, bersempadanan atau menghadapnya; dengan pengecualian kepada suatu bangunan yang direka bentuk dengan akses koridor luar, akses kepada tangga keluar luaran boleh dengan cara suatu koridor luar yang terbuka sisinya bersampingan dengan kawasan pendudukan, tertakluk kepada yang berikut:

(i) koridor luar hendaklah dilengkapkan dengan sekurang-kurangnya dua tangga keluar; dan

(ii) suatu ruang buka pengudaraan yang tidak terhalang hendaklah disediakan sepanjang bahagian sisian yang panjang koridor luar di atas parapet atau pelepar; dan

(c) lepasan terakhirnya hendaklah menuju secara terus ke suatu tempat yang selamat di luar bangunan.

(3) Mana-mana ruang buka pengudaraan bagi suatu bilik air atau mana-mana kawasan terlindung lain adalah dikecualikan daripada sekatan ini.

(4) Jika suatu tingkap atau mana-mana ruang buka berglaf lain adalah diperlukan dalam dimensi ini, yang hendaklah dipasang dengan suatu cermin berdawai dan disimpan secara kekal dalam suatu keadaan tertutup.

(5) Suatu pintu api kepada tangga keluar luaran hendaklah disediakan.

Jalanan bergerak

192. (1) Sesuatu tempat keluar jalanan bergerak yang condong hendaklah mematuhi