PERINTAH TETAP KETUA PENGARAH BILANGAN 11 TAHUN 2021

JARAK KEDIAMAN KE TEMPAT BERTUGAS YANG DIBENARKAN

1. TUJUAN

1.1. Perintah Tetap Ketua Pengarah (PTKP) ini bertujuan melaksanakan penetapan jarak kediaman ke tempat bertugas (tugas rasmi) yang dibenarkan bagi semua pegawai bomba dan pegawai bomba bantuan.

1.2. Arahan ini bertujuan:

1.2.1. Memastikan pegawai bomba dan pegawai bomba bantuan sentiasa bersiap siaga bagi tujuan atur gerak sebarang operasi yang memerlukan kerahan anggota yang besar atau bantuan tambahan pada bila-bila masa;

1.2.2. Memastikan pegawai kanan sentiasa peka dan kebolehhadiran operasi dalam tempoh yang segera bagi melaksanakan tugas sebagai Komander Operasi atau Jawatankuasa ICS; dan

1.2.3. Mengurangkan risiko kemalangan semasa perjalanan pergi balik ke tempat bertugas.

2. LATAR BELAKANG

2.1. Jarak kediaman ke tempat bertugas (tugas rasmi) adalah faktor penting dalam memastikan setiap pegawai boleh menghadiri tempat bertugas dalam masa yang ditetapkan.

2.2. Pegawai yang berulang-alik terlalu jauh (>25 km) dari tempat bertugas terpaksa keluar lebih awal, menghabiskan banyak masa di perjalanan, keletihan dan boleh meningkatkan risiko kemalangan.

2.3. Pegawai kanan seperti Pengarah Negeri, Timbalan Pengarah Negeri, Penolong Pengarah, Ketua Zon, dan Ketua Balai, yang berulang-alik melebihi 25 km dan/atau berada di luar kawasan jagaan kurang bersiap siaga dan lewat hadir apabila operasi yang memerlukan kehadiran pegawai kanan di luar waktu pejabat termasuk hujung minggu dan cuti umum.

3. PUNCA KUASA

3.1. AKP Bil. 1 Tahun 2007 – Peraturan Pegawai Kanan Dan Pegawai Bomba Meninggalkan Negeri/ Daerah/ Kawasan Jagaan;

3.2. Arahan Perbendaharaan WP 1.10 Elaun Dan Bayaran Anggota Perkhidmatan Awam;

3.3. PP Bil. 7 Tahun 2019 – Kenalkan Kadar Bantuan Sara Hidup (BSH).

3.4. Garis Panduan Kumpulan Wang Kebajikan Bomba

4. TAFSIRAN

4.1. bagi maksud Perintah Tetap Ketua Pengarah ini, melainkan jika konteksnya mengkehendaki makna yang lain –

Kawasan jagaan bermaksud had kawasan bertanggungjawab; samada kawasan jagaan balai, daerah atau negeri mengikut penetapan semasa;

Kediaman bermaksud kediaman semasa yang diduduki samada secara disewa, dibeli, kuarters Kerajaan atau menumpang;

Ketua Jabatan bermaksud pegawai penilai kedua tetapi terhadap kepada YAS Ketua Pengarah, YAS Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), YS Pengarah Negeri, Timbalan Pengarah Negeri, Penolong Pengarah Bahagian, Ketua Zon dan Ketua Balai sahaja;

Pegawai Penyokong bermaksud pegawai penilai pertama tetapi terhadap kepada YAS Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), YS Pengarah Negeri, Timbalan Pengarah Negeri, Penolong Pengarah Bahagian, Ketua Zon, dan Ketua Balai sahaja;

Tugas Rasmi bermaksud -

i. tugas yang berkaitan dengan tugas pejabat selain daripada menghadiri kursus yang dibenarkan;

ii. semua tugas yang diarahkan oleh Ketua Jabatan dan berkaitan dengan urusan rasmi.

Tempat bertugas bermaksud tempat biasa seorang pegawai melaporkan diri untuk bertugas dan lingkungan jarak pentadbirannya salah 25 km ini merujuk kepada jarak melalui satu (1) garis lurus (radius) di atas peta kerana jaraknya adalah tetap dan tidak dipengaruhi dengan pembinaan jalan raya baharu;

5. PELAKSANAAN

5.1. Ketua Jabatan perlu memastikan semua pegawai bomba dan pegawai bomba bantuan dibawah jagaan sentiasa menduduki kediaman ke tempat bertugas dalam lingkungan jarak pentadbirannya.

5.2. Semua pegawai bomba dan pegawai bomba bantuan dikehendaki mengisi Borang Permohonan Kebenaran Menduduki Kediaman Semasa di Lampiran A.

5.3. Ketua Jabatan hendaklah mempertimbangkan permohonan tersebut dengan mengutamakan kepentingan perkhidmatan berbanding kepentingan peribadi tanpa mengabaikan kebajikan pemohon;

5.4. Sekiranya tidak diberi kelulusan Ketua Jabatan perlu dan mengesyorkan tindakan yang perlu dilakukan oleh pemohon dan pegawai perlu mencari kediaman yang berada dalam jarak yang dibenarkan dalam kadar yang segera.

5.5. Pegawai bomba dan pegawai bomba bantuan perlu mengemaskini maklumat kediaman semasa pada aplikasi HRMIS serta MyAPPS.

5.6. Ketua Jabatan bertanggungjawab memastikan kepatuhan arahan ini dibawah lingkungan jarak pentadbiran tempat bertugas.

5.7. Walaubagaimanapun, pelaksanaan Perintah Tetap Ketua Pengarah ini adalah dianggap tidak menjejaskan mana-mana terma dan syarat bagi tujuan sebarang tuntutan pampasan, faedah, manfaat dari pihak insurans, kumpulan wang amanah, pertubuhan kebajikan, skim pampasan dan lain-lain yang sama maksud dengannya.

6. DASAR PERTIMBANGAN KETUA JABATAN

6.1. Sekiranya jarak kediaman melebihi kebenaran yang ditetapkan, pegawai bomba atau pegawai bomba bantuan perlu mengemukakan sebab yang kukuh kepada Ketua Jabatan untuk dipertimbangkan:

6.1.1. Kadar sewa kediaman yang terlalu tinggi melebihi kadar elaun perumahan ditambah elaun sara hidup (COLA) pegawai;

6.1.2. Telah memiliki dan menduduki kediaman sendiri;

6.1.3. Telah menduduki kuarters Jabatan/ Kerajaan;

6.1.4. Pasangan yang bekerja dan tempat bertugas pasangan berada dalam jarak kurang dari 25 km dari kediaman;

6.1.5. Faktor kemudahan fasiliti asas seperti sekolah, klinik kesihatan, jalanraya, air, elektrik yang mungkin sukar didapati dikawasan terpencil;

6.1.6. Kawasan terpencil yang sukar mendapat kediaman berdekatan;

6.1.7. Menumpang atau menduduki rumah pusaka; dan

6.1.8. Lain-lain sebab yang difikirkan munasabah dan wajar dipertimbangkan.

6.2. Had pertimbangan Ketua Jabatan adalah dengan memastikan:

6.2.1. Sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah keseluruhan pegawai bomba dan/atau pegawai bomba bantuan bertugas di balai hendaklah menduduki kediaman dalam jarak 25 km dari tempat bertugas masing-masing bagi balai bersebelahan / bantuan terhampir dalam 50 km perjalanan darat;

6.2.2. Sekurang-kurangnya 70% daripada jumlah keseluruhan pegawai bomba dan/atau pegawai bomba bantuan bertugas di balai hendaklah menduduki kediaman dalam jarak 25 km dari tempat bertugas masing-masing bagi balai bersebelahan / bantuan terhampir melebihi 50 km perjalanan darat; dan

6.2.3. Jarak tidak mempengaruhi dasar menduduki kuarters Jabatan yang ditetapkan.

7. TARIKH BERKUATKUASA

7.1. Perintah Tetap Ketua Pengarah Bilangan 11 Tahun 2021 ini berkuatkuasa daripada tarikh ianya dikeluarkan.

8. PEMAKAIAN

8.1. Perintah Tetap Ketua Pengarah ini hendaklah dipatuhi oleh semua pegawai bomba dan pegawai bomba bantuan yang bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri.

8.2. Perintah Tetap Ketua Pengarah ini hendaklah dibaca bersama Arahan Ketua Pengarah Bilangan 1 Tahun 2007 – Peraturan Pegawai Kanan Dan Pegawai Bomba Meninggalkan Negeri/ Daerah/Kawasan Jagaan.