ARAHAN KETUA PENGARAH BILANGAN 3 TAHUN 2011

PENGGUNAAN JENTERA BOMBA / UTILITI BAGI TUJUAN PEMERIKSAAN DAN UJIAN PILI BOMBA, PEMBIASAAN KAWASAN SERTA TUGAS KHAS LAIN-LAIN

1. LATAR BELAKANG

1.1 Pemeriksaan dan ujian pili bomba amat penting supaya ianya sentiasa dalam keadaan baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa. Pada masa yang sama, kehadiran kenderaan bomba dalam operasi kecemasan, iaitu untuk mencapai masa respon yang ditetapkan, perlu diberikan keutamaan.

1.2 Kejadian ketiadaan jentera bomba untuk menjalankan operasi kecemasan ekoran penggunaan jentera bomba bagi pemeriksaan dan ujian pili bomba merupakan satu kes malang dan tidak boleh diterima oleh jabatan.

1.3 Oleh itu, penggunaan jentera bomba bagi tujuan menjalankan pemeriksaan dan ujian pili bomba perlu dikawal dan diselaraskan di setiap balai supaya setiap keluaran berupaya untuk menghadiri kebakaran di kawasan jagaan pada bila-bila masa.

2. TUJUAN

Arahan ini dikeluarkan sebagai tambahan kepada Arahan Pentadbiran Operasi Bilangan 1 Tahun 2010 (Peraturan Menjalankan Pemeriksaan Dan Ujian Pili Bomba Pada Waktu Malam) bagi mengelakkan kejadian ketiadaan kenderaan bomba menjalankan operasi kecemasan.

3. TAFSIRAN

Bagi maksud arahan ini, tafsiran yang digunapakai adalah seperti berikut:

3.1 “Jentera bomba” bermaksud semua kenderaan bertangki air yang dilengkapi peralatan menyelamat.

3.2 “Kenderaan Utiliti” bermaksud semua jenis van, pacuan empat roda, lori pengangkutan, dan ‘Multi Purpose Vehicle’.

4. PEMAKAIAN

4.1 Arahan ini terpakai kepada pemeriksaan dan ujian pili bomba, pembiasaan kawasan, atau tugas khas lain-lain di luar kawasan masa respon jabatan, khususnya bagi balai bomba yang mempunyai satu keluaran jentera bomba, corak waktu bertugas shif 24/12 jam, dan tiada unit pemeriksaan pili bomba.

5. PELAKSANAAN

5.1 Tindakan kerja-kerja pemeriksaan dan ujian pili bomba, pembiasaan kawasan, atau tugas khas lain-lain dengan penggunaan jentera bomba dan utiliti hendaklah dilakukan seperti di Lampiran 1.

6. TANGGUNGJAWAB KETUA BALAI

6.1 Ketua Balai hendaklah menentukan dan memastikan supaya tindakan pelaksanaan kerja-kerja pemeriksaan dan ujian pili bomba dipatuhi sepenuhnya.

7. PEMATUHAN

7.1 Arahan ini berkuatkuasa mulai tarikh ia dikeluarkan, dan kegagalan mematuhi arahan ini adalah satu kesalahan, dan tindakan tatatertib boleh diambil.

8. PEMBATALAN

8.1 Arahan Ketua Pengarah ini merujuk kepada Arahan Pentadbiran Operasi Bil: 1/2010 (Peraturan Menjalankan Pemeriksaan Dan Ujian Pili Bomba Pada Waktu Malam) dalam Para 7, di mana kenderaan yang digunakan untuk pemeriksaan dan ujian pili bomba adalah dipinda.

Jenis Balai/Keluaran Corak Waktu Bekerja Tempat/Kawasan Pemeriksaan (Masa Respon) Tindakan
Balai bomba Kategori 'C' (Satu keluaran Jentera Bomba) Shif 24 jam atau 12 jam (A) Masa Respon melebihi 10 minit

1. Tidak dibenarkan menggunakan jentera bomba.

2. Menggunakan jentera utiliti dengan keanggotaan 2 orang sahaja.

3. Menyediakan peralatan pemeriksaan dan ujian pili bomba/peralatan lain-lain berkaitan dengan tujuan tugas.

4. Sediakan alat komunikasi untuk perhubungan.

5. Laporan kepada Pusat Gerakan Operasi Negeri.

(B) Masa Respon kurang 10 minit

1. Dibenarkan menggunakan kenderaan utiliti atau jentera bomba.

2. Menyediakan kenderaan back up/kenderaan utiliti dengan meletakkan pam angkut dan aksesorinya yang boleh dioperasikan oleh anggota balai/Ketua Balai.

3. Laporan kepada Pusat Gerakan Operasi Negeri.