ARAHAN KETUA PENGARAH BILANGAN 2 TAHUN 2011
TINDAKAN PASUKAN BOMBA SUKARELA SEBAGAI ‘RESPONSE TIME’ JABATAN
1. PENDAHULUAN
1.1 Dalam sesuatu operasi, ‘response time’ yang pantas oleh pasukan penyelamat adalah faktor utama penentu kejayaan atau kegagalan operasi berkenaan. Oleh itu, setiap pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia perlulah sentiasa dalam keadaan siap sedia dan bertindak pantas apabila perkhidmatan diperlukan.
1.2 Dalam keadaan tertentu, disebabkan jarak perjalanan yang jauh, ‘response time’ pasukan akan mengambil masa yang panjang menyebabkan tindakan operasi menjadi kurang efektif. Jesteru, Jabatan telah menggalakkan penubuhan Pasukan Bomba Sukarela dengan bimbingan dan bantuan yang diberi oleh Balai Bomba dan Penyelamat berdekatan.
1.3 Di kebanyakan negara maju, Pasukan Bomba Sukarela mendapat pengiktirafan dan mereka telah memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat setempat. Negara kita juga wajar memberi pengiktirafan yang serupa dan sebagai langkah awal, ‘response time’ oleh Pasukan Bomba Sukarela akan diiktiraf sebagai ‘response time’ Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Ini bertepatan dengan matlamat asal penubuhan Pasukan Bomba Sukarela iaitu memberi ‘response’ awal bagi kawasan-kawasan tertentu terutama yang jauh dari balai bomba biasa.
2. TUJUAN
Arahan ini bertujuan untuk melaksanakan matlamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menjadikan ‘response time’ Pasukan Bomba Sukarela sebagai ‘response time’ jabatan dalam kerja-kerja operasi kebakaran dan penyelamatan bagi Pasukan Bomba Sukarela seluruh negara.
3. TAFSIRAN
Bagi maksud arahan ini, tafsiran yang digunakan adalah seperti berikut.
3.1 "Response time" bermaksud satu gerak kerja yang melibatkan satu pasukan bermula dari panggilan pertama diterima hingga jentera pertama sampai ke tempat kejadian.
3.2 "Station ground" bermaksud mana-mana kawasan yang ditetapkan sebagai kawasan di bawah seliaan sesuatu Pasukan Bomba Sukarela untuk menjalankan tindakan pemadaman kebakaran. "Station ground" bomba sukarela adalah sama dengan maksud kawasan jagaan balai yang telah ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
4. PEMAKAIAN
4.1 Bagi menjadikan 'response time' Pasukan Bomba Sukarela sebagai 'response time' jabatan dalam kerja-kerja operasi kebakaran dan penyelamatan.
4.2 Penolong Pengarah Operasi Negeri, Ketua Balai dan Pegawai bertugas di Pusat Gerakan Operasi (PGO) negeri diberi tanggungjawab dalam pengurusan dan pemantauan bagi memenuhi arahan ini.
5. PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB
Bagi merealisasikan perkara di atas, perkara-perkara berikut hendak dilakukan:
5.1 Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri mengarahkan keluaran jentera Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia/Pasukan Bomba Sukarela untuk hadir di tempat kecemasan bagi menjalankan peranan dan tanggungjawab seperti berikut:
5.1.1 Pasukan Bomba Sukarela diarah ke tempat kecemasan sebagai keluaran pertama sekiranya kejadian kecemasan berlaku berhampiran dengan pasukan. Pada masa yang sama Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diarah ke tempat kejadian untuk mengambil alih operasi pemadaman/Penyelamatan.
5.1.2 Pasukan Bomba Sukarela diarah ke tempat kecemasan sebagai pasukan bantuan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat sekiranya kejadian kecemasan berlaku jauh dari pasukan tetapi masih dalam lingkungan kawasan station ground pasukan.
5.1.3 Proses mengambil alih tugas daripada Pasukan Bomba Sukarela oleh JBPM perlu dibuat/dilakukan apabila JBPM telah sampai di tempat kejadian untuk mengetuai operasi.
5.2 Bagi tujuan gerakan operasi dan keluaran Pasukan Bomba Sukarela Pusat Gerakan Operasi Negeri perlu mempunyai maklumat-maklumat penting pasukan seperti kekuatan jentera/peralatan, keanggotaan, nombor telefon pengerusi dan pasukan untuk dihubungi apabila diperlukan.
5.3 Pasukan Bomba Sukarela perlu mematuhi dan menjalankan tindakan operasi seperti di Lampiran 1 (Arahan Tindakan Operasi Pasukan Bomba Sukarela)
6. LATIHAN DAN KAWALAN
6.1 Jabatan perlu mengadakan latihan berjadual secara konsisten untuk Pasukan Bomba Sukarela bagi meningkatkan kemahiran dan kecekapan ahli-ahli pasukan.
6.2 Kawalan dan pemantauan ke atas Pasukan Bomba Sukarela perlu dilakukan melalui kekerapan lawatan terhadap pasukan. Sehubungan dengan itu, setiap ahli pasukan mesti memahami dan mematuhi “Standard Operasi Seragam” (SOP)/ Arahan Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Bil.1 Tahun 2010 (Pentadbiran Dan Pengurusan Operasi Kebakaran Atau Kecemasan bagi Pasukan Bomba Sukarela).
7. PEMATUHAN
Arahan ini berkuatkuasa mulai tarikh ia dikeluarkan.